Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : |
Makalah ini membincangkan perihal penentuan kawasan difusi dialek di lembangan Sungai Pahang. Untuk itu, makalah ini mencadangkan Hulu Tembeling sebagai kawasan yang memenuhi kriterianya. Pemilihan kawasan ini disandarkan pada bukti linguistik dan sejarah. Bukti linguistik terbangun daripada cerapan menetapkan bahawa dialek di Hulu Tembeling memperlihatkan ciri fonologi khusus yang membolehkannya membentuk cabang tersendiri dalam kelompok dialek Melayu Semenanjung timur. Bukti ini kemudiannya diperkuatkan dengan bukti sejarah yang mengarah pada penonjolan Hulu Tembeling sebagai salah satu kawasan petempatan awal di Semenanjung. Data dialek Melayu Hulu Tembeling dikumpul di lapangan pada tahun 2011, 2012, 2016, 2020, 2021 dan dianalisis menerusi kerangka dialektologi diakronik dengan menumpukan pada unsur retensi bahasa purba. Hasil analisis menunjukkan keberadaan ciri pengekalan vokal tinggi bahasa purba pada posisi suku kata praakhir. Pengekalan ciri ini membawa maksud dialek Melayu Hulu Tembeling tercakup sebagai dialek yang dituturkan di kawasan relik, justeru merupakan dialek konservatif. Retensi dan sifat konservatif yang dimilikinya menjadi bukti bahawa dialek ini lebih tua dan purba, maka wajar diangkat sebagai calon terbaik bagi kawasan difusi dialek di seluruh lembangan Sungai Pahang. Kesimpulan ini diperkukuhkan dengan bukti arkeologi dan sejarah yang menunjukkan pembentukan peradaban dan kependudukan di Sungai Tembeling lebih awal berbanding dengan kawasan lain di lembangan Sungai Pahang. Implikasi terpenting dapatan makalah ini membawa perspektif baharu mengenai pusat penyebaran dialek di Pahang yang selama ini tertumpu semata-mata pada daerah Pekan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |