Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : Faculty of Leadership and Management, USIM |
Tamadun dan bangsa Melayu kaya dengan kesenian dan adat. Hal ini dapat diperhatikan dalam pelbagai aspek kehidupan seperti kelahiran, perkahwinan, kematian, perubatan, kesihatan dan kaedah mempertahankan diri. Aspek kesenian dan adat juga dapat diperhatikan dalam Senaman Tua Melayu yang diperkenalkan oleh Azlan Ghanie yang kini mula mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat di Malaysia khususnya, tidak terkecuali dalam kalangan warga USIM. Justeru kajian ini bertujuan meneroka keunikan Senaman Tua Melayu sebagai sebuah kearifan lokal Melayu yang dipercayai boleh membantu meningkatkan kesihatan pengamalnya. Senaman Tua Melayu merupakan inovasi oleh Azlan Ghanie menggunakan pengamalan yang diwarisi daripada keluarganya dan pengamalan beliau dalam dunia seni mempertahankan diri. Ia merupakan sebahagian daripada Silat Keris Lok 9 yang turut diasaskan oleh Azlan Ghanie. Walaubagaimanapun, Senaman Tua diperkenalkan kepada masyarakat bagi memelihara dan meningkatkan kesihatan, manakala Silat Keris Lok 9 pula lebih menjurus kepada kaedah mempertahankan diri. Kajian ini merupakan kajian kualitatif yang mana data kajian dikumpul melalui kaedah temu bual informan penting iaitu pengasas Senaman Tua sendiri diikuti dengan lima orang pengamal Senaman Tua yang telah mengamalkan senaman tersebut lebih daripada lima tahun secara konsisten. Hasil kajian menunjukkan bahawa Senaman Tua Melayu mempunyai keunikan tersendiri iaitu kaya dengan adab dan petua orang Melayu terdahulu. Di samping merupakan latihan asas kepada pesilat Silat Keris Lok 9, Senaman Tua Melayu turut memperkenalkan gerakan berbentuk regangan badan yang menarik dan unik serta menekankan latihan yang memfokus kepada kekuatan dalaman. Justeru itu, kajian ini penting sebagai satu sumbangan untuk mengangkat martabat kearifan lokal yang wujud dan berkembang sebagai sebahagian daripada warisan budaya Melayu. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |