Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : |
Selinsing Gold Mine yang terletak di baratlaut Pahang, Semenanjung Malaysia merupakan lombong emas yang aktif dilombong hingga sekarang. Litologi kawasan ini terdiri daripada batuan sedimen dan batuan volkanik termetamorf gred rendah sebahagian daripada batuan Formasi Gua Musang berusia Perm Akhir-Trias. Pemineralan emas kebanyakannya berlaku dalam telerang kuarza yang memotong batuan induk dan berkaitan dengan jalur-jalur sesar dan zon ricih utama berarah hampir utara-selatan dan timurlaut-baratdaya. Mineral-mineral berasosiasi dengan emas dalam telerang kuarza terdiri daripada pirit, arsenopirit, surihan kalkopirit, tetrahedrit dan sfalerit. Perubahan batuan dinding yang berlaku di Selinsing Gold Mine menunjukkan perkaitan secara langsung wujud antara larutan hidroterma, struktur, pembentukan telerang kuarza dan pemineralan emas. Gabungan data cerapan lapangan, mineral ubahan yang hadir dan tren komposisi kimia mengenalpasti perubahan batuan dinding yang berkaitan dengan pemineralan emas terdiri daripada pensilisifikasian, pengargilitan dan penserisitan yang terjadi di sekitar zon telerang kuarza dan zon sesar. Perubahan pensilisifikasian ditandai oleh hadirnya mineral kuarza sekunder dan sedikit serisit, menunjukkan pengurangan kandungan K2O, Al2O3, LOI, Fe2O3 dan peningkatan kandungan SiO2 bersama Na2O. Zon pengargilitan ditunjukkan oleh kehadiran mineral lempung seperti kaolinit, muskovit atau serisit dan kuarza serta peningkatan kandungan K2O, Al2O3, LOI bersama pengurangan SiO2. Perubahan penserisitan dicirikan oleh pembentukan mineral serisit dominan, mineral lempung, kuarza, klorit, karbon, sulfida dan surihan emas halus. Perubahan ini dicirikan oleh peningkatan kandungan K2O, Al2O3, LOI, Fe2O3 dan Mg, pengurangan sedikit kandungan Na2O dan pengurangan mendadak SiO2. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |