Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : |
Gendang gangsa merupakan sejenis artifak yang penting peninggalan masyarakat Zaman Logam. Selain ditemui di Vietnam dan China, objek ini juga telah ditemui di beberapa lokasi seperti di Kemboja, Laos, Thailand, Myanmar, Indonesia dan termasuklah Malaysia. Daripada sembilan (9) buah gendang gangsa yang ditemui di negara ini, sebanyak tiga (3) buah daripadanya telah ditemui di Terengganu. Dua buah gendang gangsa tersebut ditemui di Kampung Batu Buruk, manakala sebuah lagi telah ditemui di Kampung Gaung, Besut, Terengganu. Kebanyakan objek ini ditemui secara tidak sengaja oleh orang-orang kampung menyebabkan data-data yang penting khususnya berkaitan dengan penemuan tersebut tidak dapat diperoleh. Kajian mendapati penemuan gendang gangsa di Terengganu mempunyai signifikannya yang tersendiri. Ini kerana berdasarkan lakaran motif dan pola hiasan yang dipaparkan pada gendang gangsa berkenaan didapati ia tidak dihasilkan oleh masyarakat tempatan sebaliknya ia diimport dari luar khususnya dari Vietnam. Penyebaran gendang gangsa di Terengganu dipercayai adalah melalui aktiviti perdagangan yang berkembang di alam Melayu dengan dunia luar. Berkembangnya aktiviti perdagangan di rantau ini secara tidak langsung adalah disebabkan oleh beberapa faktor. Selain kemudahan untuk mendapatkan bahan mentah yang terdapat di sekitar alam Melayu yang sangat diperlukan oleh pedagang luar, kedudukan yang strategik juga merupakan antara faktor utama yang menyebabkan berlakunya penyebaran gendang gangsa di negeri Terengganu. Keperluan kepada bahan logam timah (Sn) juga menjadi faktor mengapa pedagang dari Vietnam dan mungkin China datang ke Semenanjung Tanah Melayu untuk menjalankan aktiviti perdagangan. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |