Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : Universiti Kebangsaan Malaysia |
Manuskrip ‘Umdat al-Muhtajin ila Suluk Maslak al-Mufradin adalah sebuah manuskrip lama bertulisan tangan yang telah dihasilkan pada abad 17 Masihi. Pengarang manuskrip ini adalah Shaykh Abdul Rauf Singkel, seorang ulama Melayu yang telah meneruskan tradisi intelektual di Alam Melayu sejak abad 16 Masihi. Manuskrip lama ini tersimpan di beberapa repositori manuskrip Melayu, sama ada di rantau Alam Melayu, mahupun di Barat, di samping simpanan individu. Sebagai sebuah karya lama yang terpendam dalam bentuk naskhah asal, manuskrip ini terbukti masih bermanfaat untuk generasi kini dan mampu memberi sumbangan dalam pembinaan sahsiah masyarakat Melayu masa kini. Sumbangan ini diteliti berdasar analisis kandungan yang dilakukan terhadap manuskrip ini dengan mengambil kira beberapa versi, khususnya naskhah MSS 1314, ML 375 dan koleksi individu Shamsul Anuar dari Aceh, Sumatera, Indonesia. Sumbangan manuskrip ‘Umdat terlihat pada penampilan disiplin ilmu keislaman yang diketengahkan menerusi bimbingan kerohanian. Bimbingan ini turut dilengkapi dengan perhatian agar pelaksanaan dilakukan dengan penuh kefahaman, kesedaran dan keyakinan terhadap keesaan Allah SWT. Gabungan keyakinan dan pelaksanaan amalan akan memberi kesan kejiwaan yang mendalam kepada pelaksana amalan sehingga mampu menzahirkan sifat-sifat mulia, memperoleh hakikat ma’rifatu’Llah, malah mendapat anugerah karamah. Sehubungan ini, manuskrip ‘Umdat tetap relevan dengan senario masyarakat Melayu masa kini yang tetap menampakkan minat yang mendalam untuk menghayati ajaran Islam seperti pada abad 17 Masihi. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |