Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) |
Kajian ini membincangkan fenomena yang berlaku dalam sejarah puisi Melayu moden sejak awal dekad 1930-an sehingga dekad 1970-an. Puisi Melayu moden yang bermula pada awal dekad 1930-an merupakan hasil transformasi puisi Melayu tradisional, khususnya pantun dan syair yang menjadi teks hipogramnya. Transformasi ini lebih banyak memperlihatkan persamaannya, terutamanya pada tipografi dan bahasa dengan teks hipogramnya. Persamaan ini yang sering disebut oleh pengkaji terdahulu sebagai pengaruh dan kesinambungan daripada puisi tradisional adalah wajar kerana puisi moden tidak lahir dalam kekosongan budaya. Meskipun demikian, sejak kelahirannya pada awal dekad 1930-an sehingga dekad 1960-an, puisi moden terus-menerus memperlihatkan persamaan dengan teknik penciptaan pantun dan syair. Puisi-puisi ini yang mendominasi jagat perpuisian Melayu telah menjulang tokoh-tokoh penyairnya pada setiap dekad. Penyair dan pembacanya dapat dianggap tradisionalis. Dengan teknik yang statik, penyairnya pada setiap dekad mengungkapkan peristiwa yang berlaku pada dekad kehadirannya. Ketaasuban terhadap puisi yang mudah difahami dan peranannya sebagai alat komunikasi puitis telah menyebabkan pembaca menolak puisipuisi yang menyimpang daripada tradisionalis dan sukar difahami. Noor S.I., A.S. Amin dan M. Ghazali dianggap pemuisi kabur apabila puisi-puisi mereka muncul pada pertengahan dekad 1950-an lalu ditolak khalayak. Pembaca juga menolak puisi-puisi sukar Suhaimi Haji Muhammad pada dekad 1960-an dan puisi-puisi sukar Baha Zain pada dekad 1970-an. Puisi-puisi mereka tidak dapat difahami berdasarkan pengalaman pembacaan puisi mereka. Justeru, kaedah pembacaan puisi sukar dengan teori yang khusus perlu diketengahkan agar pembaca dapat menggali makna yang hendak disampaikan oleh penyairnya dan kerja-kerja perpuisian mereka tidak menjadi sia-sia. |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |