Koleksi Tamadun Pahang
|
|
|
Abstract : Muzium Pahang |
Klas Grinell menegaskan dalam carta UNESCO (1945) bahawa trauma kemusnahan manusia akibat Perang Dunia
Kedua boleh diubati dengan warisan tamadun ilmu, sejarah, budaya dan seni. Oleh itu, UNESCO dan ICOM (Majlis
Muzium Antarabangsa) menekankan peranan besar yang perlu dimainkan oleh muzium untuk tujuan menjaga dan
mempelajari warisan sejarah dan budaya ini. Namun begitu, terdapat tiga paradigma yang dipegang khususnya dalam
kalangan penganut Islam membabitkan peranan muzium ini. Pertama, golongan yang memusuhi muzium secara
mutlak. Kedua, golongan yang menerima konsep muzium baharu secara mutlak dan ketiga, golongan reformis yang
mengambil sikap selektif terhadap institusi muzium. Hal ini demikian kerana idea penubuhan muzium itu sendiri pada
awalnya dicetuskan oleh penjajah khususnya British bagi tujuan mengumpulkan hasil-hasil alam semula jadi dan
koleksi-koleksi berharga di Tanah Melayu. Dalam masa yang sama, mereka mengasaskan ilmu kolonial bagi mengkaji
masyarakat tanah jajahan secara tuntas demi kepentingan penjajahan. Setelah Tanah Melayu merdeka, muzium
dilihat menyumbang kepada pembangunan negara, menjadi agen penyebar ilmu pengetahuan, serta memupuk identiti
bangsa. Objektif utama makalah ini adalah untuk mendedahkan peranan Muzium Pahang dalam menghadapi isu-isu
penjajahan British di Tanah Melayu. Kajian ini menggunakan kaedah pensejarahan dengan menganalisis sumber-
sumber penyelidikan, bahan-bahan penerbitan, koleksi-koleksi serta galeri-galeri Muzium Pahang khususnya Galeri
Kesultanan Melayu Pahang dan Islam di Pahang. Hasilnya, kajian ini mendapati Muzium Pahang telah mendedahkan
isu-isu penjajahan British di Tanah Melayu melalui siri-siri penyelidikan, kolokium, penerbitan serta pameran yang
diadakan. Penubuhan Pusat Kajian Sejarah dan Tamadun Al-Sultan Abdullah – Muzium Pahang (AL-ASAR) telah
menggiatkan lagi kajian ilmiah berkaitan ilmu kolonial di alam Melayu dengan menjawab teori-teori orientalis Barat,
kesannya terhadap Islam dan pembentukan institusi muzium di Malaysia. Isu-isu penjajahan ini perlu dipelajari bagi
memastikan agar penjajahan kuasa asing tidak lagi berulang di Malaysia |
This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |