|
Koleksi Tamadun Pahang
|
|
| ||||||||||||||||||||||
| Abstract : Universiti Putra Malaysia |
| Nama Tengku Mariam sebagai pujangga wanita istana tidak begitu menyerlah dan terasing dari perhatian sarjana walaupun baginda banyak menghasilkan penulisan manuskrip dalam pelbagai genre. Kebanyakan kajian yang dilakukan terhadap Tengku Mariam adalah bertemakan seni tarian yang rata-ratanya cenderung membincangkan jasa Tengku Mariam dalam joget gamelan Pahang di Terengganu. Oleh itu, permasalahan utama dalam penulisan ini ialah kekurangan penelitian terhadap pemikiran Tengku Mariam dalam penulisan manuskrip sebagai seorang pujangga wanita istana, selain daripada fokus kajian terdahulu yang cenderung kepada seni tarian. Situasi ini menunjukkan bahawa terdapat keperluan menyelidik dan menganalisis penulisan manuskrip Tengku Mariam terutama dari aspek budaya dan sejarah yang terdapat dalam koleksi Muzium Negeri Terengganu. Hal ini penting dilakukan agar masyarakat dapat mengetahui kandungan penulisan manuskrip Melayu yang telah dihasilkan oleh baginda sebagai pujangga wanita istana. Justeru, objektif kajian dalam penulisan ini ialah mengenal pasti dan menganalisis pemikiran Tengku Mariam dari aspek budaya dan sejarah dalam penulisan manuskrip Melayu koleksi Muzium Negeri Terengganu. Kaedah kepustakaan dan analisis kandungan digunakan untuk mencapai objektif kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa penulisan manuskrip yang dihasilkan oleh Tengku Mariam mempunyai pemikiran dari aspek budaya yang dapat ditelusuri daripada permainan rakyat, manakala pemikiran sejarah menerusi catatan lawatan diraja. Penulisan ini diharapkan akan dapat membantu memberi pemahaman komprehensif selain menjadi sumber rujukan kepada masyarakat untuk mengetahui kandungan penulisan manuskrip yang dihasilkan oleh Tengku Mariam. |
| This material may be protected under Copyright Act which governs the making of photocopies or reproductions of copyrighted materials. You may use the digitized material for private study, scholarship, or research. |